Sunday, July 31, 2011
Rawatan Kesuburan utk PCOS episode 10
Tuesday, July 26, 2011
Awak, Kenapa Kahwin Dengan Saya?
"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai".
Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa. Perasaanku bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Aku tidak pasti mengapa air mataku jatuh sedangkan aku sepatutnya gembira dengan pernikahan ini.
Abdul Rahman bin Abdullah, itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Dialah yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina. Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar, wajahnya seakan-akan bercahaya. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang.
Dirinya memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Selepas sahaja dia melafazkan akad, dia terus lakukan sujud syukur. Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Sedangkan dia begitu baik, begitu alim, begitu sempurna..
Hingga detik ini aku masih belum mendapat jawapannya. Kenapa aku yang dipilihnya? Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, di luar sana, masih ada berjuta wanita yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik daripadaku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun masih tidak pecus lagi. Kerap kali pemakaian tudung ku masih tidak mengikut saranan agama.
"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.
Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya benih-benih jernih yang keluar dari kelopak mataku. Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.
"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.
***
"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya suamiku memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.
Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku,"Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?"
Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.
Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.
Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan.
Sudahlah kacak, baik pula tu' Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau awak tak selesa Abang faham. Ni kali pertama awak hidup tanpaparents kan. Abang faham Zahrah. Susah bagi awak nak terima semua ni. Tapi, dari tadi Abang tak nampak pun Zahrah senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum," dia cuba memujuk agar aku mengukir senyuman.
Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia malah aku tak pernah mengenalinya secara dekat sebelum ini. Oleh sebab itu aku perlu tahu. Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu ke? Ye lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni pilihan dia yang terakhir.
"Hmm.... awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.
"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami diikuti ketawa kecil.
"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.
"Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum,"soalanya kembali dengan lemah lembut.
"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?"bentakku.
"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?" Soalnya pula seakan ingin menjeratku kembali.
Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Aku tidak tahu. Aku keliru.
"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.
"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?" Bentakku sudah hilang sabar kerana terasa seolah sedang dipermainkan.
Dia agak terkejut dengan nada ku yang tinggi itu. Namun dia tidak marah. Yang menghairankan ku lagi, dia cuma tersenyum.
"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah," ujarnya ringkas tetapi seakan penuh makna.
"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice.I'm tired of being the person who people i'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku panjang dan keras.
Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.
Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.
"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada," balasnya lembut penuh hikmah dengan makna yang amat mendalam.
Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya. Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya.
"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang," tutur suamiku ikhlas.
Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.
"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara," pujuknya tatkala melihat aku mulai menangis.
"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah," aku cuba menduganya dalam sedu-sedan.
"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?"
"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..." aku masih ingin menduganya. Aku mahu dia tahu aku bukanlah sebaik dirinya. Aku tidak setaraf dengannya.
Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."
Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.
"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh" ujarku terketar-ketar dalam tangisan.
Suamiku hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.
"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak langsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang" terangku satu persatu.
"Zahrah, sudahlah tu. Abang faham Zahrah inginkan penjelasan. Memang Zahrah berhak tahu kenapa abang berkahwin dengan Zahrah. Im marrying you because of Allah and the answer will remain the same forever. Zahrah percayakan Abang?" Soalnya ingin tahu isi hatiku.
Aku mengangguk tanda setuju. Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi. Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya. Terima kasih, Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu. Terima kasih, Ya Allah!
Wednesday, July 20, 2011
Rawatan Kesuburan utk PCOS episode 9
Tuesday, July 19, 2011
Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku
"Abang nak dengar cerita tak?" Soal Zahra, isteriku yang baru beberapa hari kunikahi. Lembut dan lunak sekali suaranya.
Ketika itu aku sedang menghadam kitab Usul Fiqh tulisan Syekh Prof. Dr. Abd Karim Zaidan. Ulama kelahiran Iraq yang tekun mendidik dan berdakwah di Yaman. Beliau terkenal dengan kealimannya dalam bidang Fiqh dan Usul serta Dakwah.
Sengaja aku meneruskan bacaan. Aku berpura-pura seperti tidak mendengar apa-apa.
"Abang, nak dengar tak cerita saya. Emm...tak pelah." Dia mencebik muka.
Itulah yang aku tunggu. Lantasku tutup kitab fiqh dan aku letakkan di atas meja kecil disisi sofa. Aku bangun melangkah dan mendekati isteriku yang sedang duduk bersimpuh di atas lantai beralaskan permaidani berona coklat. Aku memilih kedudukan betul-betul dihadapannya. Mata kami bercantum empat. Pandangan kami menyatu. Perlahan-lahan ku hulurkan kedua tangan, dan ku pegang pipinya. Lalu ku dekatkan bibir ke wajahnya. Dia menutup mata. Kemudian... tangan nakal ku mencubit lembut hidungnya.
"Haa! haa..!" Aku pantas bangkit dan melarikan diri.
"Abang!" Zahra cukup geram dengan perbuatanku tadi. Dia terus bingkas dan mengejar-ngejar aku dibelakang.
Suasana menjadi riuh dengan suara gelak dan tawa kami. Gelagat kami seakan-anak anak kecil yang sedang bermain kejar-kejaran. Mujurlah kami belum punya cahaya mata. Kalau tidak pasti mereka merasa pelik melihat gelagat kami yang seperti mengalahkan mereka ini. Melihat keadaan isteri yang semakin letih, aku tidak betah untuk terus berlari. Sengaja ku beralah. Pantas sahaja dia menangkap tubuhku, lalu melancarkan serangan. Berkali-kali.
"Sayang! Abang cubit sekali je tadi," ujarku cuba membela diri sambil ketawa.
"Ah. Tak kiralah abang yang mula dulu. Sekarang terimalah balasannya." Zahra sehabis mungkin mengenakanku kembali. Habis tubuhku dicubitnya manja. Dia mengilai riang, kemenangan. Aku tidak bisa berbuat apa-apa lagi, hanya mampu redha dengan kemenangan Zahra. Seraya itu, ku perhatikan tingkahnya. Suaranya. Gelak tawanya. Manja dan menawan hati. Dia benar-benar mampu mengubat hatiku, aku benar-benar gembira dan bersyukur pada Allah kerana dijodohkan dengan wanita semulia dan secantik Zahra. Terima kasih Allah!
Dalam kegembiraan dia mencubitku, dengan pantasku tangkap serangan terakhirnya. Aku pegang kedua tangannya. Zahra terdiam kaku. Aku pandang tepat ke wajahnya. Sedikit titik air terlihat dikelopak matanya. Aku sekat air mata bahagia itu dengan jari jemariku. Perlahan-lahanku kucup ubun-ubunnya, lembut dan kurangkul tubuhnya erat dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang yang dibina kerana Allah. Aku bahagia, dan ku pasti dia juga turut merasai kebahagiaan ini.
"Abang ni, sampai hati kenakan Zahra tau!" Dia pura-pura merajuk dan membulatkan matanya, walaupun begitu tetap terpancar rona-rona keceriaan disebalik rajukan yang dibuat-buat itu.
"Sekali-sekala abang nak bergurau dengan Zahra, seronok juga kan." Selorohku sambil ketawa kecil.
Aku memimpin Zahra dan membawanya ke arah kerusi yang terletak di balkoni. Daripada balkoni itu, kami dapat menikmati angin bayu yang begitu mendamaikan kerana balkoni tersebut benar-benar menghadap pantai. Aku selesa disini bersama isteriku yang tercinta. Kami masing-masing mendiamkan diri, menikmati kedinginan malam dan keindahan bulan di langit. Butir-butir bintang berkelip indah, bukti kekuasaan Yang Maha Esa. Beberapa ketika selepas itu, aku memperbetulkan kedudukan ku diatas kerusi dan merebahkan tubuh ke sandaran kerusi berlapikkan span. Zahra tanpa disuruh, menyandarkan kepalanya ke dadaku. Hati ini terasa sejuk dan tenang sekali. Alangkah indahnya nikmat Tuhan, aku dapat bermesraan dengan wanita yang halal bagiku, sudah tentu ia akan dikira sebagai ibadah. Dalam sepi aku terfikir, inilah hikmah perkahwinan yang seringku baca dalam kitab-kitab dan hadith-hadith Nabi, sesungguhnya Allah telah membuka pintu-pintu kenikmatan yang membuahkan pahala.
Lama membisu dan melayan perasaan, tiba-tiba Zahra mengungkapkan tutur yang membelah kesunyian."Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Zahra begitu kagum dengan seorang pemuda. Zahra rasa dia adalah lelaki paling mulia di dunia. Dialah pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah di atas segalanya. Sungguh Zahra kagum dengan keperibadiannya. Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh."
Aku cuma mendengar. Membiarkan Zahra meneruskan kalimah-kalimahnya.
"Zahra tidak pernah menyangka Zahra sudah jatuh hati pada pemuda itu. Sungguh Zahra tidak pernah menyangka perasaan itu dan Zahra pernah berkali-kali menafikannya. Namun Zahra tidak kuat menolak cinta yang hadir dalam diri. Zahra tewas dengan perasaan sendiri."
Kemudian Zahra terdiam. Dia memandangku dengan pandangan sayu.
Wajahku seakan berubah. Demi Allah, aku benar-benar cemburu kepada pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang muslimah yang sangat aku sanjungi dan kagumi keperibadiannya. Malah, wanita ini sekarang telah menjadi permaisuri hidupku. Aku ingin sekali bertanya. Pelbagai persoalan muncul di fikiranku namun ku biarkan Zahra dengan bicaranya dan aku akan cuba dengar dengan saksama.
"Namun abang, Zahra masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Zahra tidak tertewas dengan pujukan syaitan yang berkali-kali mengajak Zahra menerobos ke ruang maksiat. Zahra masih punya sifat malu yang menebal. Mustahil untuk Zahra menanggalkan pakaian mulia itu. Pakaian yang dinamakan malu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah Zahra bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari Zahra. Zahra tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana Zahra telah tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu dan menjunjung perintah Allah didalam al-Quran. Cinta sebelum bernikah adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Lalu Zahra pendamkan rasa cinta Zahra pada pemuda itu, kerana Zahra berkeyakinan bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan melainkan dengan kudrat-Nya."
Zahra berhenti berbicara seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam. Perkara ini seperti terlalu serius dan penting baginya. Aku menjadi risau dan soalan demi soalan kian menjengah ke dalam fikiranku.
"Zahra berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Bulat-bulat Zahra berserah kepada Allah perihal jodoh. Kerana Zahra yakin akan bicara Allah dalam kalam-Nya:"(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia."
(Surah An-Nuur:26)"
Zahra memandangku lembut. Dia pasti dapat meneka riak air mukaku. Aku cemburu Ya Allah. Mengapa perlu isteriku ini bercerita perihal pemuda lain dihadapanku. Walaupun aku kini pemiliknya yang sah namun aku tidak dapat menghalang jiwaku daripada perasaan cemburu ini. Namun Zahra masih mahu menyambung kisah nya.
"Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Jadi, Zahra berdoa tidak henti-henti moga Zahra dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah mengkehendaki."
Tanpaku sedari Zahra mencuri pandang kearahku. Dia kini seperti menangkap perasaan di hatiku yang sedari tadi membuak-buak rasa cemburu.
"Abang cemburu?" Soalnya lembut dan manja.
"Love is never without jealousy," jawabku perlahan. Zahra berterusan membisu dan memandangku seakan mengerti masih ada bait-bait kata yang ingin aku ucapkan kepadanya.
"Bertuahnya lelaki tu. Mesti dia seorang yang hebat kan? Yelah, seorang wanita secantik dan semulia Zahra pun memuji dan mencintainya. Siapa lelaki tu sayang? Abang kenal dia?" Aku menyoal Zahra bertubi-tubi namun nadaku masih lembut walaupun hatiku bergetar ingin tahu siapa lelaki yang isteriku cintai ini.
"Abang nak tahu siapa dia?" soalnya semula kepadaku. Eh, bukankah aku yang banyak bertanya soalan kepada dia tapi dia pula yang menyoalku kembali. Aku berasa sedikit geram dalam penantian.
Dia kemudian memegang tanganku dan diciumnya dengan penuh takzim. Lalu dengan sungguh-sungguh dia berkata.
"Abang, you are the man that i loved since the first time i met you in University. Zaid! Masya-Allah, now you've already be my husband, and i will give all my life to you, in the name of Allah."
Hatiku gerimis. Basah dengan bicaranya yang penuh makna. Aku pandang wajahnya dalam-dalam sembari menikmati keindahan dan kecantikan wajahnya. Hatiku kini tenang. Sungguh benar sabda Nabi Muhammad SAW:
"Sebaik-baik isteri adalah yang jika kamu memandangnya membuatkan hatimu senang, jika kamu perintahkannya dia mentaatiku, dan jika kamu tinggalkannya maka dia akan menjaga untukmu harta dan dirinya."
(Hadis riwayat Ibn Jabir)
"Sayang, wajahmu seindah bidadari di syurga. Abang sangat beruntung dan bangga kerana menikahi seorang isteri solehah seperti sayang" Lirihku lembut.
"Dan abang adalah lelaki terbaik yang pernah Zahra temui. Abang cinta pertama dan terakhir Zahra." Lirihnya kembali.
Perasaan kami, jiwa kami, hati kami, segalanya kini bersatu. Aku mencintai isteriku dan berjanji akan selamanya menjaga amanah Allah ini hingga ke syurga. Akan kami teruskan ibadah yang suci ini dan kami mengharapkan akan dikurniakan anak-anak yang soleh yang akan memakmurkan bumi Allah dengan kebenaran dan rahmat Islam kelak.
"Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir."
(Surah Ar-Ruum: 21)