Friday, May 15, 2009

26 tips untuk anda memiliki tubuh yang langsing dan

Tubuh yang langsing dan cantik merupakan igauan setiap manusia normal,
terutamanya bagi golongan wanita. Tetapi, adakah impian anda untuk
langsing, cantik dan sihat akan terlaksana sekiranya anda menahan diri
daripada menyentuh makanan?

Berikut disenaraikan 26 tips untuk anda memiliki tubuh yang langsing dan
sihat yang boleh anda lakukan tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar
atau mengundang risiko pengambilan bahan-bahan kimia yang berpotensi
menjejaskan fungsi organ dalaman dan kesihatan anda.

Namun anda perlu mendisiplinkan diri mengikut tip-tips yang diberi agar
anda dapat menikmati hasil yang memuaskan.

Tips # 1 - Jangan berlapar

Makanan memberi kita tenaga dan bila kita menggunakan tenaga kurang
daripada apa yang kita ambil, tubuh anda akan terkejut. Tubuh akan mula
membakar otot untuk menggantikan makanan. Ini menyebabkan kadar
metabolisme tubuh anda menjadi lebih rendah daripada biasa. Bila anda
tidak tahan berlapar, pada kebiasaannya anda akan makan dengan lebih
banyak. Pada masa ini, walaupun tahap pengambilan makanan anda telah
kemabli ke paras normal, tetapi metabolisme tubuh masih lagi rendah. Ini
menyebabkan ia tidak membakar kalori pada tahap yang sama lagi.

Tips # 2 - Ambil sesuatu yang pahit sebelum makan

Minumlah kopi dan kumur beberapa saat sebelum makan. Cara ini
menyebabkan tekak merasa pahit dan menghantar isyarat melalui otak bagi
menggalakkan rembesan enzim dan asid HCL. Kekurangan enzim dan asid HCL
di dalam perut boleh menyebabkan ketidakcekapan penghadaman.

Tips # 3 - Minum 8 gelas air sehari

Air mampu mengurangkan selera makan anda secara semulajadi dan membantu
badan memetabolismekan simpanan lemak di dalam badan. Sebelum makan
makanan yang berat-berat, cuba minum air, pasti anda tidak akan makan
dengan kuantiti yang banyak.

Tips # 4 - Elakkan minum minuman bergas

Minuman berkabonat atau bergas biasanya mengandungi 7-8 sudu gula dan
tidak baik untuk kesihatan tubuh.

Tips # 5 - Kurangkan pengambilan garam

Pengambilan garam yang berlebihan akan menggalakkan penakungan air.
Mengurangkan pengambilan garam bermakna badan anda menakung sedikit air.
Ini bermakna anda kurang berat yang disebabkan air di dalam badan.

Tips # 6 - Ambil sarapan pagi

Anda juga boleh menurunkan berat badan dengan pengambilan sarapan pagi.
Menurut satu jajian, mereka yang tidak mengambil sarapan pagi lebih
cenderung untuk gemuk berbanding dengan mereka yang mengambilnya.
Bagaimana ia terjadi? Sarapan pagi menstabilkan hormon dan paras gula di
dalam darah. Kadar metabolisme juga meningkat untuk membakar kalori.

Tips # 7 - Makanlah perlahan-lahan

Nikmatilah makanan dengan perlahan-lahan dan jangan gopoh atau delojoh.
Kerana apabila kita makan secara perlahan-lahan, tubuh akan menghantar
isyarat menunjukkan kepuasan.

Tips # 8 - Kunyahlah makanan dengan sempurna

Kunyahlah makanan anda kepada cebisan yang lebih kecil sebelum anda
menelannya kerana dengan cara ini, ia lebih mudah untuk dihadamkan.
Elakkan makan bersulam air kerana ini akan membuatkan perut anda buncit.

Tips # 9 - Makan lebih kerap

Biar makan kerap dengan kuantiti yang sedikit, daripada makan hanya
sekali, dua tetapi dengan kuantiti yang banyak.

Tips # 10 - Kurangkan lemak/minyak

Kurangkan pengambilan marjerin, mentega dalam makanan anda. Kalau boleh,
usah ada di dalam peti ais anda.

Tips # 11 - Elakkan makan makanan ringan/snek

Jika anda terasa ingin makan snek atau makanan ringan, beruslah gigi
anda atau kunyahlah gula-gula getah. Rasa pudina (mint) atau berangin di
mulut akan membantutkan selera anda.

Tips # 12 - Minuman masam

Apabila makan di restoran atau gerai, pesanlah air limau nipis atau jus
oren kerana minuman masam menggalakkan pembakaran lemak. Mintalah
minuman yang kurang manis (kurang gula). Kurangkan pengambilan gula
kerana setiap satu sudu gula mengandungi 32kilo kalori.

NB: Anda boleh cuba minum air masak (kosong) yang direndam dengan
sepotong lemon. 2-3 gelas sehari mampu membuatkan badan anda langsing.

Tips # 13 - Lebihkan sajian buah-buahan dan sayur-sayuran

Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber terbaik untuk vitamin,
mineral, serat (fibre) dan kandungan lemak yang rendah. Anda digalakkan
mengambil hidangan buah-buahan sebelum makan dan bukan sebaliknya kerana
buah-buahan mempunyai kandung air yang tinggi dan cepat mengenyangkan
perut. Jadi, anda akan makan tengahari/malam dalam kuantiti yang kurang.

Tips # 14 - Timbang berat badan

Jangan timbang berat badan anda setiap hari kerana anda tidak akan
nampak perubahannya. Jika anda minum banyak dan waktu itu anda timbang
berat badan yang pastinya meningkat, mungkin anda akan berputus asa
untuk berdiet.

Tips # 15 - Makanan berempah

Ambil makanan yang berempah. Sesetengah rempah seperti cili, halia, lada
hitam, biji sawi dan jintan manis didapati boleh membakar kalori.
Penambahan lada hitam bukan sahaja meningkatkan penghadaman, ia juga
meningkatkan pembakaran lemak.

NB: Untuk mengempiskan perut yang boroi, cuba rebus 2 sudu jintan manis
(atau daun pokok kaduk) dengan 2 cawan air, tinggalkan air rebusan
sehingga lebih kurang secawan dan boleh diminum. Amalkan selalu, pasti
anda tidak akan kecewa, insya Allah.

Tips # 16 - Makan lebih bijirin

Pilihlah lebih banyak bijirin dan kekacang dalam makanan anda. Bijirin
penuh adalah sumber utama tenaga. Bijirin dan hasil Bijirin banyak
mengandungi karbohidrat kompleks, protein, vitamin, mineral dan sedikit
lemak.

Tips # 17 - Diari makanan

Simpan satu diari makanan boleh berpengaruh besar dalam proses penurunan
brat badan. Rekodkan dalam sehari, berapa kali anda makan dan berapa
banyak, tahap kelaparan yang memerlukan anda makan dan perasaan anda
ketika makan. Diari makanan boleh membuatkan anda peka kepada pola
keinginan makan anda. Setelah beberapa lama membuat catatan, perhatikan
dan kenal-pasti di mana anda boleh membuat atau perbaiki tabiat
pemakanan anda kepada yang lebih sihat. Diari ini juga boleh membuatkan
anda lebih fokus dan lebih komited terhadap pelan diet anda. Mulakan
diari makanan anda dan rajin-rajinlah membuat catatan.

Tips # 18 - Bekas makanan yang sesuai

Ketika memilih pinggan makanan, ambillah pinggan yang rata dan bukan
pinggan yang cekung. Ambil sayuran terlebih dahulu untuk memenuhi
pinggan, kemudian baru ambil nasi dan yang terakhir sekali, ambillah
lauk yang anda ingin makan (daging/ayam/ikan). Jika ingin tambah, hanya
sayuran saja yang boleh anda ambil. Jangan lupa, makanlah di meja makan
dan jangan di sebarang tempat, apa lagi sambil menonton TV. Sebabnya,
makin menarik program TV, semakin banyak makanan yang mampu anda
habiskan!

Tips # 19 - Tumpukan perhatian anda

Tumpukan perhatian untuk sihat, bukan kurus. Ramai orang lebih berjaya
dalam penurunan berat badan dalam jangka masa panjang apabila mereka
menukar motif mereka daripada untuk kurus kepada untuk kekal sihat dan
segar. Tukarlah fikiran anda untuk memikirkan dan memilih makanan apa
yang boleh menyihatkan tubuh badan.

Tips # 20 - Tukar cara memasak

Cara memasak paling baik untuk mengurangi jumlah kalori dalam makanan
adalah dengan merebus, memanggang atau mengukus. Khusus untuk sayuran,
anda boleh menumisnya dengan sedikit minyak (misalnya satu sudu minyak
masak). Hindari minyak atau lemak haiwan.

Tips # 21 - Lakukan aktiviti ringan

Selain memberi peluang makanan untuk turun, kebiasaan berjalan-jalan
sesudah makan akan membantu menghabiskan sebahagian kalori daripada
makanan yang anda makan. Setiap 25 langkah anda berjalan satu kalori
akan diguna. Lebih-lebih lagi anda menaiki tangga. Tentu saja semua ini
harus dilakukan dengan santai kerana perut anda baru saja terisi.

Tips # 22 - Tukar tabiat berbelanja

Khusus bagi kaum wanita, yang juga perlu diperhatikan adalah tabiat
berbelanja dan memasak. Seelok-eloknya, tidak berbelanja semasa perut
kosong. Rancanglah perbelanjaan sesuai dengan keperluan. Jika ingin
membeli makanan, kunjungilah dahulu gerai buah dan sayuran. Gerai
makanan segera harus anda kunjungi paling akhir sekali jika memang
benar-benar memerlukannya.

Jangan lupa membuat catatan saat membeli-belah untuk mencegah pembelian
barang-barang yang tidak diperlukan. Dengan cara ini keinginan anda akan
terbatas dan anda tidak perlu lagi membeli sebarang makanan ringan yang
boleh menaikkan berat badan.

Tips # 23 - Berhenti sebelum kenyang

Hah... ikutlah sunnah Rasulullah. Makanan yang terlalu mengenyangkan
perut akan membuat badan menjadi lemas dan mengganggu aktiviti ibadah.
Rasulullah SAW pernah bersabda dan memberi teladan, "jangan makan
sebelum lapar dan berhentilah makan sebelum kenyang."

Imam Al Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin mengutip pernyataan seorang syaikh
dalam sebuah perjamuan makan: Hai orang-orang yang menghendaki akhirat,
janganlah kamu makan terlalu banyak, lalu kamu minum banyak, maka kamu
akan tidur banyak sehingga kamu akan menyesal ketika mati. Ini adalah
pokok yang besar yaitu meringankan perut dari beratnya makanan.

Tips # 24 - Hentikan makan setelah lewat malam

Hindari makan ketika lewat malam. Jika boleh, jangan makan selepas jam 8
malam. Para pakar diet mengatakan ruangan gelap dan kegelapan malam
boleh membuatkan kiat makan berlebihan. Cubalah tidur lebih awal supaya
anda atidak terasa untuk mengunyah makanan.

Tips # 25 - Setkan target dan cari sumber inspirasi

Lakukan sesuatu! Gunting gambar baju atau seluar jeans yang anda sukai.
Jadikan ia sebagai inspirasi untuk anda menguruskan badan. Tanamkan
dalam diri anda bahawa baju yang anda sukai itu akan dapat anda pakai,
suatu hari nanti.

Tips # 26 - Lakukan beberapa aktiviti fizikal yang mudah untuk langsing

1. Usahalah berjalan cepat. Gunalah kasut yang cukup selesa dipakai
agar kaki tidak melecet dan sihat. Saya perhati orang perempuan suka
sangat berjalan melenggang-kangkung. Sebelum marahkan saya, cuba anda
perhatikan cara mereka berjalan, terutama sekali ketika waktu makan
tengahari... Aduhai... kalau di negara matahari terbit, anda tentu
dilanggar oleh orang lain (rakyat di sana berjalan seolah-olah mengejar
masa, tidak kira lelaki atau perempuan).
2. Gunakan tangga untuk naik ke tingkat atas. Jika terlalu tinggi,
naik tangga untuk beberapa tingkat, kemudian sambunglah dengan menaiki
lif.
3. Renang adalah latihan menyeluruh. Berenang dengan laju dengan
nafas yang dalam mampu membakar kalori, anda akan lebih banyak
kehilangan lemak di badan.
4. Bersenam atau membuat peregangan, sangat baik bagi otot-otot dan
sendi-sendi yang kaku. Melenturkan otot dapat melancarkan peredaran
darah.
5. Tunggang basikal dan kayuh perlahan-lahan tetapi dalam tempoh
yang lama. Ini dapat mencantik dan merampingkan peha.
6. Sekali-sekala anda boleh memanjakan diri ke spa atau sauna.
Urutan seluruh tubuh dan suhu yang panas mampu memecahkan lemak-lemak di
badan anda.

1 comment:

  1. such a goof info.. rasa nk print tampal kt umh.. huhuhu.. tp rini x leh bersenam.. bdn sakit2 demam.. :p

    ReplyDelete

All My Love Now and Forever

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers